Jumaat, 17 Disember 2010

TEKS PENGACARA MAJLIS PERSARAAN

TEKS PENGACARA MAJLIS 
“KASIH DISEMAI BAKTI DITUAI”
SEMPENA PERSARAAN TUAN HJ MAWARDI

Pagi yang indah penuh ceria. hari yang berbahagia penuh bermakna kita raikan Majlis “Kasih Disemai Bakti Dituai” sempena persaraan Tuan Haji Mawardi PK Ko-kurikulum SKPBS,.
BismilLahir Rahmanir Rahim .  Assalamu `Alaikum W.B.T

Yang Berusaha Pn Hjjh Rokiah bt Ismail Guru Besar SK Pdg Besar (S). Yang Dihormati En. Mohammad Saghir B. Mahmud, Guru Penolong Kanan 1,  Pn. Bebee Arifa Bt. Said Rastan, Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid,
Yang Dihormati Tuan Haji Mohd Nor B. Ibrahim, Yang Dipertua PIBG SKPBS.
Yang Diraikan Tuan Haji Mawardi PK Ko-kurikulum SKPBS,.
Seterusnya,  murid-murid, hadirin dan hadirat yang diRahmati Allah sekalian.
Selamat datang ke :
Majlis “Kasih Disemai Bakti Dituai” sempena persaraan ,Tuan Haji Mawardi PK Ko-kurikulum SKPBS



Sirih berlipat sirih pinang
Sirih dari Pulau Mutiara
Pemanis kata selamat datang
Awal BismilLah pembuka bicara

Sarung ketupat berisi inti
Dibawa budak sambil berlari
Kehadiran semua sangat dihargai
Moga Majlis bertambah seri

Bunga mawar cantik tersemat
Dipetik gadis di tepi titi
Doa dibaca memohon Rahmat
Moga Majlis sentiasa diberkati



Bagi menambah keberkatan Majlis kita pada hari yang penuh bermakna ini, marilah sama-sama kita menadah tangan mengaminkan bacaan doa yang akan dibacakan oleh:  
Ustaz Zuraimy B. Ali.  Majlis dengan segala hormatnya dipersilakan.

Amin Amin Ya Rabbal `Alamin
Majlis merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Ustaz Zuraimy atas bacaan doa itu tadi.
Jasamu dikenang
Budimu tak terbilang
Semangatmu dijulang
Kepimpinanmu gemilang

Begitulah yang boleh kita perkatakan atas segala bakti dan kepimpinan yang ditaburkan oleh Yang Diraikan Tuan Haji Mawardi  B. Othman sepanjang perkhidmatan beliau di dalam dunia pendidikan yang berakhir sebagai PK Ko-kurikulum SKPBS

Hadirin dan hadirat yang diRahmati Allah sekalian,
Majlis diteruskan dengan ucapan daripada wakil murid Muhd Alif Ajwad Dipersilakan.
Terima kasih diucapkan kepada Muhd Alif Ajwad atas ucapan yang telah disampaikan sebentar tadi.

Majlis seterusnya ingin menjemput dan mempersilakan wakil guru En. Mohammad Saghir B. Mahmud, ntuk menyampaikan ucapan. Dipersilakan.

Terima kasih diucapkan kepada  En. Mohammad Saghir B. Mahmud, atas ucapan yang telah disampaikan sebentar tadi.

Majlis seterusnya ingin menjemput dan mempersilakan kepada yang Berusaha Pn Hajjah Rokiah B. Ismail untuk menyampaikan ucapannya. Dipersilakan.

Terima kasih diucapkan kepada yang Berusaha Pn Hajjah Rokiah B. Ismail atas ucapan yang telah disampaikan sebentar tadi.

Majlis seterusnya ingin menjemput dan mempersilakan kepada yang dihormati Tuan Haji Mohd Nor B. Ibrahim YDP PIBG untuk menyampaikan ucapannya. Dipersilakan.

Terima kasih diucapkan kepada yang dihormati Tuan Haji Mohd Nor B. Ibrahim YDP PIBG atas ucapan yang telah disampaikan sebentar tadi.

Hadirin dan hadirat yang dihormati sekalian,



Tiap pertemuan pasti ada perpisahan
Itu adat, itu lumrah kehidupan
Begitulah rentetan perjalanan
Walau sukar untuk ditelan
Tapi kaki tetap mengorak  jalan
Selagi hayat dikandung badan



Untuk itu, marilah sama-sama kita saksikan persembahan sajak  oleh Adik Abadiah dan multimedia sempena persaraan Yang Diraikan Tuan Haji Mawardi  B. Othman PK Ko-kurikulum SKPBS

Itulah sebentar tadi dapat kita saksikan persembahan sajak dan multimedia sempena persaraan Yang Diraikan. Mudah-mudahan persembahan tersebut dapat memberi sumber inspirasi dan kenang-kenangan buat kita semua.

Buah mengkudu buah bidara
Mari disimpan didalam dulang
Hari ini tuan genap bersara
Jasa baik tuan tetap dikenang

Seterusnya, tibalah waktu yang kita nanti-nantikan iaitu ucapan daripada Yang Diraikan Tuan Haji Mawardi  B. Othman PK Ko-kurikulum SKPBS.  Majlis dengan segala hormatnya  menjemput dan mempersilakan.

Majlis merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Yang Diraikan Tuan Haji Mawardi  B. Othman atas ucapan itu tadi.



Sudah teradat si anak lelaki
Mati berjuang, berundur jangan
Berani kami menjunjung adat
Bukan memberi kata dan puji
Hanya budi dalam ingatan
Buat kenangan sepanjang hayat



Bagi memeriahkan lagi Majlis kita pada hari ini, marilah sama-sama kita saksikan persembahan daripada murid Tahun 4 A yang akan menyampaikan nasyid yang bertajuk  Buatmu Guru. Dengan segala hormatnya dipersilakan.
 
Demikianlah  tadi persembahan nasyid  yang sungguh syahdu  penampilan  persembahan yang cukup istimewa.

Majlis dimeriahkan lagi dengan persembahan sketsa, persembahan daripada murid tahun 5A. Dengan segala hormatnya di persilakan.

Begitu bersahaja murid-murid anak didik Yang Diraikan Tuan Haji Mawardi  B. Othman melakonkan  watak guru kesayangan mereka.

Persemabahan seterusnya ialah persembahan pantun khas ditujukan untuk Yang Diraikan Tuan Haji Mawardi  B. Othman Dengan segala hormatnya di persilakan.

Demikianlah  tadi persembahan pantun yang mencuit rasa dan menjadi ingatan untuk kita semua.

Hadirin dan hadirat yang dihormati sekalian

Majlis diteruskan dengan upacara penyampaian cenderamata sebagai tanda kenang-kenangan buat insan yang kita raikan pada hari ini iaitu  Tuan Haji Mawardi  B. Othman

Sebelum itu, Majlis dengan segala hormatnya ingin menjemput dan mempersilakan kepada Puan Hjjh Rokiah B. Ismail,untuk mengiringi Yang Diraikan Tuan Haji Mawardi  B. Othman untuk menerima cenderamata kenang-kenangan. Dengan segala hormatnya dipersilakan.

Kita akan mulakan dengan penyampaian cenderamata daripada wakil-wakil kelas.

Dipersilakan wakil daripada kelas Pra-sekolah ,kelas 1 Arif, 1 Bestari, 2 Arif, 2 Bestari, 3 Arif, 3 Bestari, 4 Arif, 4 Bestari, 5 Arif, 5 Bestari, 6 Arif, dan 6 Bestari

Seterusnya Majlis mempersilakan kepada Yang Dihormati Pn Hjjh Rokiah Bt Ismail  untuk menyampaikan cenderamata daripada Badan Kebajikan Guru  dan Kakitangan SKBPBS.

Sekarang kita jemput Yang Dihormati Tuan Haji Mohd Nor B. Ibrahim, Yang Dipertua PIBG untuk menyampaikan cendamata kenang-kenangan kepada yang diraikan Tuan Haji Mawardi  B. Othman
 
Sekarang kita jemput wakil pekerja untuk menyampaikan cendamata kenang-kenangan kepada yang diraikan Tuan Haji Mawardi  B. Othman

Itulah tadi upacara penyampaian cenderamata kenang-kenangan khusus untuk Yang Diraikan Tuan Haji Mawardi  B. Othman’
Majlis merakamkan ribuan terima kasih kepada Yang Diraikan Tuan Haji Mawardi  B. Othman atas kesudian menerima cenderamata itu tadi. Majlis turut merakamkan ribuan terima kasih di atas kesudian Yang Berusaha En. Saghir B. Mahmud, Guru Penolong Kanan mengiringi Yang Diraikan Tuan Haji Mawardi  B. Othman sebentar tadi.

Majlis turut merakamkan ribuan terima kasih kepada semua penyampai cenderamata sebentar tadi.

Inilah yang dikatakan, umpama belayar telah sampai di pelabuhan
Umpama berkayuh telah sampai di muara
Umpama berjalan telah sampai ke destinasi
Para hadirin sekalian, kita telah pun berada di hujung acara.



Kuning emas masaknya padi
Mawar merah dalam jambangan
Terima kasih daun keladi
Budi tuan jadi kenangan

Tuai padi antara nampak
Esok jangan layu-layuan
Intai kami antara nampak
Esok jangan rindu-rinduan



Majlis juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Yang Diraikan Tuan Haji Mawardi  B. Othman kerana sudi untuk bersama kita pada hari yang penuh bermakna ini dan kami semua mendoakan agar Yang Diraikan Tuan Haji Mawardi  B. Othman bertambah ceria dan bahagia di dalam kehidupan seharian.


Majlis turut merakamkan ribuan terima kasih kepada semua tetamu dan hadirin yang sudi meluangkan masa bersama-sama memeriahkan Majlis “Kasih Disemai Bakti Dituai” ini.

Di kesempatan ini juga, kami ingin menyampaikan seloka khusus buat yang diraikan Tuan Haji Mawardi  B. Othman.



Assalamualaikum pembuka bicara
Madah disusun mengungkap rasa
Suasana suram pagi yang hiba
Bagai mengerti gelodak jiwa

        CikguMawardi panggilan mesra
         Guru veteran yang banyak berjasa
          Mendidik anak bangsa bukan sebentar cuma
          Tiga dekad begitulah lama

Dari muda hingga berusia
Menjalankan tugas dengan  setia
Menabur bakti mencurah jasa
Tak terbalas dek pelajar semua 

            Kini sudah tibanya masa
           Berundur Cikgu Mawardi kerana bersara
          Hilanglah permata yang berharga
          Hilang seri hilang cahaya

  Sudah biasa kita dengari
  patah tumbuh hilang berganti
  namun tak sama guru yang ini
  Tak mungkin ada galang ganti

Kenangan manis kekal selamanya
Jasamu cikgu  tak mungkin dilupa
Pemergianmu cikgu kami redha
Sudah suratan berpisah akhirnya

          Sampai di sini seloka kami
         Tidak berakhir hubungan ini
           Silaturahim  terus terpatri
          Biarpun cikgu Mawardi  tiada di sisi

Ampun dan maaf kami pinta
Andai pernah mengusik rasa
Jenguklah kami  sekali sekala
Andai rindu datang menjelma

            Semoga cikgu Mawardi sihat sejahtera
           Menyusuri hari-hari yang ceria
          Di samping beribadat pada yang Esa
          Moga dilindungi Allah sentiasa.



Majlis sudah sampai ke penghujungnya, kami selaku pengacara ingin memohon ribuan kemaafan andai ada salah dan silap sepanjang kami mengacarakan Majlis ini.

Pergi ke dusun memetik kelapa
Kelapa muda si kelapa barli
Jari disusun maaf dipinta
Panjang usia bersua kembali

Dengan ini, berakhirlah sudah Majlis kita pada hari ini. Sebelum bersurai, kita akan menyaksikan upacara menanam pokok sebagai tanda ingatan  kita yang tidak akan luput terhadap yang diraikan Tuan Haji Mawardi  B. Othman di SKPBS ini ,

Sekian sahaja, salam hormat, Wa BilLahit Taufiq walHidayah Wassalamu `Alaikum Wa Rahmatullahi Wa Barakatuh.


3 ulasan: